Gegaran gempa bumi Sumatera turut dirasai
Johor Bahru
JOHOR BAHRU 30 Sept. – Gegaran yang diakibatkan oleh gempa kuat berukuran 7.9 pada skala Richter di pulau Sumatera hari ini turut dirasai oleh penduduk bandar raya ini.
Gegaran itu menyebabkan orang ramai mengosongkan pejabat dan kediaman masing-masing kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa lokasi bangunan tinggi mendapati orang ramai berkumpul sambil menunggu pengesahan daripada pihak bomba tentang status keselamatan bangunan yang mereka duduki.
Biarpun keadaan terkawal rata-rata mereka pada mulanya berasa takut dan cemas ekoran gegaran tersebut.
Seorang pekerja Hotel Selesa, Noraini Juki, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang solat asar di tingkat lapan.
Menurutnya, dia hanya merasai gegaran tersebut ketika rakaat terakhir ketika sujud dan menyifatkan ia adalah yang paling kuat sejak 15 tahun bekerja di hotel berkenaan.
“Saya pernah mengalami tiga gegaran dan kali ini adalah yang paling kuat sampaikan badan kita boleh mengikut alunan gegaran tersebut,” katanya ketika ditemui di pekarangan hotel berkenaan.
Seorang rakannya, Rosnani Bunyani, 42, pula berkata, dia hanya mengetahui tentang gegaran tersebut ketika diarahkan keluar oleh pihak pengurusan hotel.
Menurutnya, selepas diberitahu tentang kejadian itu, semua pekerja hotel termasuk pelanggan bergegas keluar daripada bangunan berkenaan.
“Semasa kejadian, memang saya terasa bergegar sedikit. Namun ingatkan ia hanya perasaan sahaja. Selepas mendapat arahan, saya terus keluar,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Larkin mengesahkan menerima lebih 10 laporan berhubung kawasan yang turut terjejas akibat gempa bumi tersebut.
Antara kawasan yang terjejas di sini kata jurucakap itu, termasuklah Flat Larkin, Wisma Landmark, Kompleks Kastam dan Kuarantin (CIQ), Plaza Pelangi dan Jalan Abdullah Tahir di sini.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Melaka
MELAKA 30 Sept. – Beberapa kawasan di negeri ini terutama di Masjid Tanah, kawasan pantai dan Banda Hilir dekat sini merasai gegaran akibat gempa bumi berskala 7.9 ritcher yang berlaku di Selatan Sumatera, Indonesia kira-kira pukul 6.16 petang ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, R. Izhumalai berkata, pihaknya menerima kira-kira 10 panggilan daripada orang ramai bermula pukul bermula 6.38 petang.
Menurut beliau, dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dengan 14 anggota memeriksa kawasan di Banda Hilir bagi memastikan tiada kerosakan teruk akibat gempa tersebut.
“Hasil pemeriksaan tidak terdapat sebarang kerosakan teruk dan litar pintas yang berlaku cuma kebanyakkan orang ramai mendakwa merasai gegaran tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan dari dua tempat pelancongan utama di negeri ini iaitu Eye On Malaysia dan Menara Taming Sari.
Sementara itu beberapa penduduk rumah pangsa Jalan Bendahara dekat sini mengakui merasa gegaran sebanyak dua kali dalam masa kurang seminit.
Tan Chon Gek, 60, yang menduduki tingkat sembilan rumah pangsa itu berkata, dia merasai gegaran itu kira-kira selama 40 saat pada pukul 6.30 petang.
“Saya lihat minuman dalam cawan bergegar dan merasa pening. Saya tidak kisah sangat kerana kawasan ini sudah kerap menerima gegaran ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi S. Bindu, 33, pula, dia merasai gegaran sebanyak dua kali.
“Kali pertama tidak sampai 10 saat manakala pada gegaran kedua pula dalam tempoh 30 saat. Memang saya rasa pening sedikit,” katanya.
Mohd. Rasul Abdul Hamid, 45, pula berkata, dia dan keluarganya terpaksa keluar dari rumah pangsa yang dihuninya di tingkat tujuh.
“Saya betul-betul terkejut akibat gegaran ini. Beberapa barang rumah saya juga turut terjatuh di atas lantai,” katanya.