
|
Sukarelawan pelajar IPTA, IPTS dan Puteri umno mengecat dan membaiki rumah penduduk kampung yang usang pada Program Cahaya Lebaran di Kampung Plentong Baru, Johor Bahru, baru-baru ini. - utusan / RAJA JAAFAR ALI
|
JOHOR BAHRU 1 Okt. - Program Cahaya Lebaran anjuran Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang nyata memberi impak berkesan bagi membantu golongan yang memerlukan khususnya untuk meraikan kehadiran 1 Syawal.
Justeru, program yang dirintis pada Ramadan lalu akan dijadikan acara tahunan pergerakan berkenaan.
Ketuanya, Raja Norasyikin Raja Ali berkata, aktiviti kemasyarakatan itu bertujuan membantu meringankan bebanan golongan miskin di samping bersama-sama menjalankan kerja-kerja mengecat, bergotong-royong membersih kawasan rumah, menghias rumah dan memasak bubur lambuk.
"Memandangkan ini program perintis, kami hanya mengenal pasti sebuah rumah saja di Kampung Plentong Baru. Bantuan diberi berdasarkan keperluan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, program itu diperkenal bagi mendekatkan ahli Puteri dengan masyarakat setempat dan sekali gus mendedahkan mereka dengan kerja-kerja kebajikan.
Tambahnya, program berkenaan diharap dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai Puteri UMNO.
"Tidak dinafikan pembabitan penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam program sebegini banyak membantu.
"Walaupun mereka menyertai program Puteri tetapi kami tidak paksa mereka sertai parti kerana kebanyakan pelajar dari negeri lain. Apa yang kami mahu, biar mereka tahu di semua bahagian Puteri mengamalkan konsep bergotong-royong," katanya.
Justeru, kata Raja Norasyikin, apabila kembali ke negeri masing-masing, mereka boleh menggunakan pengalaman itu untuk melaksanakan aktiviti sedemikian di kawasan mereka.
Beliau berkata, program demikian bukan sahaja memberi faedah kepada golongan yang dibantu malah turut memberi manfaat kepada ahli Puteri UMNO dan para pelajar.
Selain itu, program berkenaan juga dapat menjamin keutuhan dan kekuatan parti di peringkat akar umbi.