'Jangan pasang angan-angan tinggi'
JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid tidak mahu mendabik dada meskipun skuad kendaliannya berpesta gol ketika melayan kunjungan UPB-MyTeam dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia 2009 di Stadium JCorp. Pasir Gudang kelmarin.
Walaupun menang 4-1, namun Ramlan berpendapat masih terdapat beberapa kelemahan yang dipamerkan anak buahnya terutamanya apabila mereka gagal menguasai bahagian tengah pada separuh masa pertama perlawanan.
Menurutnya, kawalan longgar yang terserlah itu hampir menjerat pasukan Lebah, namun kebangkitan aksi para pemainnya pada separuh masa kedua berjaya menyuntik tonik baru dalam corak permainan mereka sehingga mampu menjaringkan empat gol.
"Saya menggunakan peluang pada masa rehat sebaik mungkin dengan memotivasikan pemain supaya meningkatkan keyakinan mereka untuk kembali menyusun permainan pada tahap sebenar.
"Ternyata gol kedua berjaya mengubah corak permainan kami untuk kembali bangkit menguasai perlawanan terutamanya di bahagian tengah," katanya.
Malah, Johor FC bernasib baik pada separuh masa pertama apabila pasukan pelawat tidak mampu menambah jaringan walaupun mempunyai banyak peluang, katanya.
Perlawanan kedua bagi kedua-dua pasukan itu menyaksikan bekas penyerang MBJB FC, Mohd. Farid Ideris menjaringkan dua gol buat Johor FC yang kini diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan C selepas menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada perlawanan pertama sebelum ini.
Mohd. Nurul Azwan Roya dan Sumardi Hajalan turut membantu pasukan kelab itu untuk bangkit menjaringkan gol biarpun ketinggalan 0-1 hasil jaringan Muhamad Zamri Chin pada minit ke-34.
Ramlan berharap anak buahnya tidak leka dengan kemenangan itu kerana masih terdapat cabaran besar menunggu untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan seterusnya menentang Perak, Sabtu ini di tempat sendiri.
Katanya, meskipun menetapkan sasaran mengulangi pencapaian musim lalu melangkah ke peringkat separuh akhir, para pemain Johor FC perlu fokus dan komited untuk menghadapi setiap perlawanan.
"Mereka boleh bersuka ria apabila meraih kemenangan, tetapi jangan leka kerana terdapat perjuangan yang belum selesai.
"Pencapaian tahun lalu tetap menjadi sasaran, namun mereka tidak boleh mula memasang angan-angan tinggi dan berbangga diri dengan setiap kemenangan," katanya.